Saturday 6 July 2013

Hukum Haid, Nifas dan Istihadhah.

HAID.

Haid ialah darah yang keluar daripada perempuan yang telah berusia 9 tahun atau lebih, dalam keadaan sihat pada waktu-waktu tertentu. Haid ini seperti yang tersebut dalam hadis yang bermaksud :

"Suatu yang ditentukan Allah Taala atas anak-anak perempuan Adam".

Apabila seseorang perempuan yang berusia 9 tahun atau lebih melihat darah keluar daripada kemaluannya, maka wajiblah dia menahan diri daripada mengerjakan solat dan puasa. Dalam masa keluar haid itu, suami haram mengadakan hubungan intim dengannya. Sama ada darah itu hitam, merah, kuning atau keruh, itu adalah darah haid.

Jika darah itu berterusan dalam masa sehari semalam (24 jam) atau lebih, nyatalah ia darah haid. Tetapi  jika ia berhenti sebelum berlalu sehari semalam dan tidak datang lagi dalam masa 15 hari dari mula keluarnya itu, nyatalah ia darah penyakit. Apabila darah penyakit, wajiblah atas perempuan itu mengganti (qadha') solatnya dan puasa yang ditinggal semasa itu. Tetapi jika darah itu berhenti sebelum sehari semalam, kemudian datang lagi pada hari kedua atau hari-hari selepasnya sehingga genap 15 hari, dan dengan darah yang kembali semula itu dalam jangka masa 24 jam, maka semuanya itu adalah darah haid dengan syarat darah yang keluar itu tidak melebihi 15 hari. Jika tidak, maka ia dihukum sebagai mustahadhah (perempuan yang beristihadhah) iaitu berdarah penyakit.

Tempoh Haid.

Sekurang-kurangnya semasa haid aialah sehari semalam iaitu selama 24 jam dan darah itu berterusan keluar seperti biasa. Dianggarkan jika diletakkan secebis kapas atau sebgainya, kapas itu berlumuran dengan darah. Biasanya haid itu keluar dalam masa 6 atau 7 hari. Masa maksimum haid ialah 15 hari. Kalau darah itu keluar itu keluar kurang daripada sehari semalam atau lebih daripada 15 hari 15 malam, darah itu ialah darah istihadhah, yakni darah penyakit.

NIFAS.

Nifas ialah darah yang keluar selepas melahirkan anak. Masa minimum nifas ialah satu lahzah iaitu, satu detik. Biasanya 40 hari dan maksimanya 60 hari. Jika darah itu keluar lebih 60 hari, ia adalah darah istihadhah.

Tempoh Suci.

Sekurang-kurangnya masa suci antara dua pusingan haid ialah 15 hari 15 malam, serta tidak ada had lama masa suci. Jika seorang perempuan datang haid selama 7 hari dan darah itu berhenti, dan 10 hari kemudian datang lagi, maka darah itu ialah darah istihadhah kerana tidak berlaku antara dua haid sekurang-kurangnya masa suci. Adapun suci antara nifas dengan haid, maka sekurang-kurangnya satu lahzah (satu detik).

ISTIHADHAH.

Istihadhah ialah hadas yang berterusan, iaitu darah yang keluar pada hari-hari yang bukan masa haid dan bukan masa nifas ataupun darah yang keluar kurang daripada sehari semalam pada hari-hari pusingan haid. Perempuan mustahadhah hukumnya dikira dalam keadaan suci. Justeru dia wajib mengerjakan solat dan puasa, malah harus bagi suami mengadakan hubungan seks dengannya. Perempuan yang istihadhah ini, apabila hendak mengerjakan solat, dia WAJIB membasuh kemaluannya dan memakai tualanya (pad) dengan kemas ; atau meletakkan kapas atau dengan cara-cara lain dan mengikatnya dengan kain jika tidak menganggunya, atau dengan istilah lama dengan memakai cawat.

Dia tidak wajib menyumbat kapas pada kemaluannya kecuali pada masa-masa yang memerlukannya, atau tidak pula ketika berpuasa. Jika tidak memerlukannya, atau ketika sedang berpuasa, atau merasa sakit, maka tidaklah wajib. Malah bagi perempuan yang sedang berpuasa hendaklah meninggalkan perbuatan menyumbat kemaluannya dengan kapas itu. Kemudian setelah selesai memakai tualanya (pad) itu barulah dia berwudhuk. Semua perbuatan itu hendaklah dilakukan setelah masuk waktu solat.

Ketika mengambil wudhuk hendaklah dilakukan secara muwalat iaitu membasuh anggota yang kedua sebelum kering anggota yang pertama. Dengan perkataan lain, melakukannya secara berturut-turut. Selesai sahaja mengambil wudhuk, dia wajib mengerjakan solat dengan segera. Jika lambat atau melengah-lengahkan, bukan kerana urusan solat, dia wajib membasuh semula kemaluannya dan memakai tualanya (pad), kemudian terus mengambil wudhuk. Tetapi jika terlambat kerana urusan solat seperti untuk menunggu solat berjemaah, tidaklah wajib dia mengambil wudhuk semula. Dia juga wajib menggantikan tuala (pad) yang baru setiap kali hendak mengerjakan solat fardhu.

Sumber :

Fekah Wanita ; Ustaz Pauzi bin Haji Awang
(Anis ; Januari 2001)










No comments: