Wednesday 26 June 2013

Padah Hias Berlebihan

Berkenaan dengan berhias ini Allah SWT ada berfirman : " Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliyyah."(Al-Azhab : 33)

Rasulullah SAW juga ada bersabda: " Sebaik-baik wanita di kalangan kamu ialah wanita yang memiliki kasih sayang, subur ( banyak anak), suka menghibur dan siap melayani, apabila mereka bertakwa kepada Allah. Dan seburuk-buruk wanita di kalangan kamu adalah wanita pesolek dan pengkhayal. Mereka itu adalah wanita munafik, mereka tidak akan masuk syurga kecuali seperti ghurab a'sham (burung gagak berkaki merah yang sangat jarang ditemui). (Riwayat al-Baihaqi)



Akibat daripada berlebihan berhias dan bercantik ini dalam berpakaian menutup aurat padahnya kembali kepada yang empunya diri. Antaranya

1) Terbuka tabir perlindungan Allah.Setelah terbuka aurat, maka tiada lagi perisai keselamatan yang menghindari gangguan kejahatan orang fasik. Sama ada diri sendiri menjadi mangsa atau wanita lain akibat terangsang keinginan jahat lelaki yang ada penyakit di dalam hati.

2) Kehilangan kekuatan dalaman untuk menahan diri daripada melakukan dosa dan maksiat serta perkara yang tidak senonoh. Kekuatan ini diperolehi setelah menutup aurat dengan sempurna dan menjaga pergaulan.

3) Menjadi sebab dilaknat, dikutuk dan dimurkai oleh Allah dan Rasulullah di dunia dan di akhirat. APabila dilaknat maka terhalang daripada menerima petunjuk dan rahmat serta belas kasihNya. Rasulullah SAW bersabda : "Akan ada pada akhir umatku nanti wanita-wanita yang berpakaian tapi telanjang, kepala mereka bagaikan puntuk unta, laknatlah mereka kerana mereka adalah wanita-wania yang pantas di laknat".
Di dalam hadis yang lain, dari Ibn Mas'ud r.a bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda : "Allah melaknati para wanita yang memiliki tatu dan meminta dibuat tatu, dan para wanita yang membuang bulu wajahnya dan meminta dibuangkan bulu wajahnya, para wanitayang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik dan yang mengubah ciptaan Allah".

4) Kemuncak daripada semua ini akan berakhir dengan dijunamkan kedalam seksa api neraka di akhirat nanti. Nabi SAW ada mengingatkan :" Tiga golongan yang tidak masuk syurga selama-lamanya, lelaki dayus, perempuan yang menyerupai lelaki dan penggemar arak." (Riwayat al-Tabrani)



Menyedari bahana dosa dan bala bencana yang disediakan untuk mereka yang bermain-main dengan hukum yang berkaitan penutupan aurat maka hendaklah menghindarkan diri daripada adanya sebarang penyerupaan dengan mereka. Ini kerana sesiapa yang menyerupai golongan manusia yang dimurkai dengan laknat Allah, akan sama menerima murka dan laknatnya, Nabi SAW bersabda :"Sesiapa yang menyerupai suatu kaum maka ia termasuk golongan mereka." (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)





sumber : dari pembacaan majalah Anis, Julai 2009



Monday 24 June 2013

Bercantik-cantik Dalam Menutup Aurat.

Bertuah sungguh kaum wanita serba-serbi kejadiannya diciptakan Allah adalah cantik dan menawan. Kecantikan wanita sering dipadankan dengan kata-kata sastera yang indah lagi mengasyikkan. Wanita bukan sahaja cantik tetapi suka dipandang cantik. Justeru, Islam sebagai sau-satunya cara hidup yang serba lengkap pasti mempunyai cara kawalan dan pengaturan untuk memelihara maruah dan kehormatan wanita. 

Rasulullah S.A.W bersabda: "Wanita itu adalah aurat yang tertutup." (Riwayat Tirmidzi). Berdasarkan hadis ini, ulama berpendapat bahawa segala yang kelihatan dari wanita itu adalah aurat, hinggakan kukunya pun demikian. Apabila kecantikan wanita itu sinonim dengan aurat, maka membukanya dipandang keji dan dibenci. Ini kerana dari segi istilah bahasa Arab, asal perkataan 'aurat' itu bermaksud keaiban. Setiap sesuatu yang aib itu hendaklah ditutup dari pandangan dan disembunyikan dari pengetahuan.

Dari segi istilah syarak pula, aurat itu ialah bahagian-bahagian daripada anggota tubuh badan yang perlu ditutup dari pangangan mata. Menurut pendapat yang masyhur dalam mazhab As-Syafie, umala sepakat mengatakan bahawa aurat bagi wanita yang sudah baligh apabila berhadapan dengan lelaki ajnabi (bukan mahram) ialah berpakaian menutup seluruh tubuhnya kecuali muka dan telapak tangan hingga pergelangannya.





Ini berpandukan firman Allah S.W.T : " Katakanlah kepada wanita yang beriman; hendaklah mereka menahan pandangan matanya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya (muka dan tapak tangan hingga pergelangan); dan hendaklah mereka melabuhkan kain tudung kepala menutupi ke dada mereka." (an-Nur : 31)

Keuntungan Menutup Aurat.

Selain perintah menutup aurat, ayat al-Ahzab; 59 turut menyatakan hikmah mengapa didatangkan hukum, iaitu untuk memelihara maruah wanita dan menjadi perisai menyelamatkan mereka daripada gangguan manusia (lelaki). Sebabnya ialah dengan berpakaian menutup aurat yang sempurna,wanita akan memperoleh tiga keuntungan: 

1) Sebagai penghormatan kepada mereka kerana dikenali sebagai wanita yang mulia dan   baik. Justeru kerana itu, mereka tudak diganggu oleh manusia yang fasik.

2) Kecantikan dan keindahan tubuh mereka akan terlindung daripada mencetuskan keinginan jahat dalam hati orang yang berpenyakit hatinya. Ini menghindari perbuatan jahat daripada berlaku ke atas mereka.

3) Dengan menutup tubuh mereka, wanita mendapat kekuatan dalaman untuk menahan diri sendiri daripada melakukan perbuatan dosa dan maksiat.




sumber : Majalah Anis, Julai 2009






Monday 17 June 2013

Bulan Kekasih Allah.

Assalamualaikum sahabat!

Bulan Syaaban muncul lagi.Syaaban menandakan umat Islam semakin menghapiri Ramadan. Seakan tidak terasa bulan Rejab berlalu. Sebahagian Ahli Sunnah mengatakan, sesungguhnya Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun daripada segala dosa, Syaaban untuk memperbaiki diri daripada cela dan Ramadhan menerangkan hati dan jiwa,

Diriwayatkan oleh Aisyah : " Rasullullah SAW sering berpuasa sehingga kami mengira bahawa Baginda akan berpuasa seterusnya. Dan Baginda sering berbuka sehingga kami mengira beliau akan berbuka terus. Dan aku tidak pernah melihat Baginda berpuasa terus sebulan penuh kecuali pada Ramadhan. Dan aku juga tidak pernah melihat Baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak puasanya pada bulan Syaaban."(Riwayat al-Bukhari)

Marilah kita sama-sama merenung sejenak apakah pengertian Syaaban dan Malam Nisfu Syaaban. Masih ramai umat Islam di luar sana keliru dan musykil tentang amalan-amalan yang sepatutnya dikerjakan pada bulan Syaaban.

Erti Syaaban 

Sabda Rasullullah SAW :" Sesiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertakwa kepada Allah, taat kepadaNya serta menahan diri daripada perbuatan maksiat, maka Allah mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya dalam tahun itu daripada segala macam bencana."  (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'zihin)

Syaaban ertinya berpecah atau bercerai-berai. Dikatakan masyarakat Quraisyi pada waktu itu berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air dipadang pasir. Dan apabila datangnya Rasullullah SAW, Baginda mengekalkan nama itu sehingga sekarang. Rasullullah SAW telah menyebut pelbagai kelebihan bulan Syaaban dalam hadis-hadisnya. Diantara hadis yang paling masyhur ialah, Rasullullah telah bertanya kepada sahabat-sahabatnya :

"Tahukah kamu sekalian mengapa dinamakan dengan bulan Syaaban?". Para sahabat menjawab, "Allah dan Rasulnnya lebih mengetahui". Sabda Rasullullah SAW, " Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali." ( Dipetik daripada Kitab Raudhatul Ulama)

Malam Nisfu Syaaban

Meraikan malam 15 Syaaban atau lebih dikenali sebagai malam Nisfu Syaaban di mana sunat ia dihidupkan dengan zikir, membaca al-Quran kerana malam itu adalah malam yang amat mustajab dan penuh rahmat.

Bertaubatlah atas dosa yang pernah dilakukan terhadap Allah SWT,taubat nasuha iaitu janji tidak akan mengulangi dosa yang lalu dan berusaha melaksanakan janji itu dengan istiqomah. Umat Islam mempercayai yang ada pada malam Nisfu Syaaban, amalan akan dibawa naik oleh malaikat untuk ditukar dengan amalan yang baru setelah tahun berlalu.

Nabi Muhammad  SAW menggalakkan umatnya untuk bangun malam dan berjaga serta beriktikaf sepanjang malam kerana tidak mahu amalan di angkat dalam keadaan tidur atau lalai. Malam Nisfu Syaaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul Qadar. Saidatina Aisyah R.A meriwayatkan bahawa nabi Muhammad SAW tidak tidur pada malam itu sebagaimana yang tersebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi R.A. " Rasulullah SAW telah bangun pada malam (Nisfu Syaaban) dan bersembahyang dan sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir baginda telah wafat. Apabila aku melihat demikian aku mencuit ibu jari kaki Baginda Rasullullah SAW dan bergerak. Kemudian aku kembali dan aku dengar baginda Rasullullah SAW berkata dakam sujudnya, " Ya Allah, aku pohonkan kemaafanMu daripada apa yang akan diturunkan dan apa yang aku pohonkan keredhaanMu daripada kemurkaanMu dan aku berlindung kepadaMu daripadaMu.Aku tidak dapat menghitung pujian terhadapMu seperti kamu memuji diriMu sendiri."

Setelah Baginda Rasullullah SAW selesai sembahyang, Baginda berkata Saidatina Aisyah R.A. "Malam ini adalah malam Nisfu Syaaban. Sesungguhnya Allah telah datang kepada hambanya pada malam Nisfu Syaaban dan memberi keampunan kepada mereka yang beristighfar, memberi rahmat keatas mereka yang memberi rahmat dan melambatkan rahmat dan keampunan terhadap orang-orang yang dengki."

Fadhilat bulan Syaaban 

Diantara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah :

# Memperbanyakkan puasa sunat :
Sebagaimana yang dijelaskan bahwa Rasullullah SAW lebih gemar untuk berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding bulan-bulan lain. Justeru itu, adalah patut bagi kita selaku umat Baginda mencontohinya dalam memperbanyakkan puasa sunat bagi menyemarakkan dan mengagungkan bulan Syaaban. Begitulah tingginya pekertinya Nabi Muhammad SAW, nabi junjungan kita.

Di dalam kitab Duratun nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasullullah SAW bersabda yang mafhumnya :" Barangsiapa berpuasa tiga hari pada permulaan Bulan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah Taala mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada AllahTaala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang mati syahid."

# Memperbanyakkan doa, zikir dan berselawat kepada Rasullullah SAW.:
Sebagai umat Islam, kita digalakkan untuk memperbanyakkan doa, zikir danberselawat kepada Rasullullah SAW. Sabda Rasullullah SAW:" Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertakwa kepada Allah, taat kepadaNya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya didalam tahun itu dari segala macam benda dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'zihin)