Wednesday 26 June 2013

Padah Hias Berlebihan

Berkenaan dengan berhias ini Allah SWT ada berfirman : " Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliyyah."(Al-Azhab : 33)

Rasulullah SAW juga ada bersabda: " Sebaik-baik wanita di kalangan kamu ialah wanita yang memiliki kasih sayang, subur ( banyak anak), suka menghibur dan siap melayani, apabila mereka bertakwa kepada Allah. Dan seburuk-buruk wanita di kalangan kamu adalah wanita pesolek dan pengkhayal. Mereka itu adalah wanita munafik, mereka tidak akan masuk syurga kecuali seperti ghurab a'sham (burung gagak berkaki merah yang sangat jarang ditemui). (Riwayat al-Baihaqi)



Akibat daripada berlebihan berhias dan bercantik ini dalam berpakaian menutup aurat padahnya kembali kepada yang empunya diri. Antaranya

1) Terbuka tabir perlindungan Allah.Setelah terbuka aurat, maka tiada lagi perisai keselamatan yang menghindari gangguan kejahatan orang fasik. Sama ada diri sendiri menjadi mangsa atau wanita lain akibat terangsang keinginan jahat lelaki yang ada penyakit di dalam hati.

2) Kehilangan kekuatan dalaman untuk menahan diri daripada melakukan dosa dan maksiat serta perkara yang tidak senonoh. Kekuatan ini diperolehi setelah menutup aurat dengan sempurna dan menjaga pergaulan.

3) Menjadi sebab dilaknat, dikutuk dan dimurkai oleh Allah dan Rasulullah di dunia dan di akhirat. APabila dilaknat maka terhalang daripada menerima petunjuk dan rahmat serta belas kasihNya. Rasulullah SAW bersabda : "Akan ada pada akhir umatku nanti wanita-wanita yang berpakaian tapi telanjang, kepala mereka bagaikan puntuk unta, laknatlah mereka kerana mereka adalah wanita-wania yang pantas di laknat".
Di dalam hadis yang lain, dari Ibn Mas'ud r.a bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda : "Allah melaknati para wanita yang memiliki tatu dan meminta dibuat tatu, dan para wanita yang membuang bulu wajahnya dan meminta dibuangkan bulu wajahnya, para wanitayang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik dan yang mengubah ciptaan Allah".

4) Kemuncak daripada semua ini akan berakhir dengan dijunamkan kedalam seksa api neraka di akhirat nanti. Nabi SAW ada mengingatkan :" Tiga golongan yang tidak masuk syurga selama-lamanya, lelaki dayus, perempuan yang menyerupai lelaki dan penggemar arak." (Riwayat al-Tabrani)



Menyedari bahana dosa dan bala bencana yang disediakan untuk mereka yang bermain-main dengan hukum yang berkaitan penutupan aurat maka hendaklah menghindarkan diri daripada adanya sebarang penyerupaan dengan mereka. Ini kerana sesiapa yang menyerupai golongan manusia yang dimurkai dengan laknat Allah, akan sama menerima murka dan laknatnya, Nabi SAW bersabda :"Sesiapa yang menyerupai suatu kaum maka ia termasuk golongan mereka." (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)





sumber : dari pembacaan majalah Anis, Julai 2009



No comments: