Monday 8 July 2013

Adab pergaulan ( Ikhtilat )

Firman Allah SWT bermaksud :

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka.“ (Surah An Nur : 30)




 PENDAHULUAN
Allah s.w.t mencipta manusia lelaki dan perempuan. Ia juga mencipta Syariat untuk mereka. Dalam Syariat Islam ada sesetengah hukum atau peraturan berbeza di antara lelaki dan perempuan dan ada yang tidak berbeza. Dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing kadangkala berlaku pergaulan di antara lelaki dan perempuan, lebih-lebih lagi dalam masyarakat kini. Penulisan ini cuba melihat sejauhmana batas-batas pergaulan yang dilarang dan dibolehkan dalam Syariat Islam.

PENGERTIAN PERGAULAN
Pergaulan dalam bahasa Arab disebutkan ikhtilat berasal daripada kalimah “khalata yakhlutu khaltan” yang bererti bercampur.[1]
Maksud pergaulan (ikhtilat) dalam perbincangan ini ialah bergaul atau bercampur di antara lelaki dan perempuan ajnabi (yang sah kahwin) di satu tempat yakni berlaku interaksi dalam bentuk pandang-memandang atau perbuatan di antara seseorang dengan lain. Ertinya, ia berlaku antara tiga orang atau lebih. Ia berbeza dengan khalwat yang hanya terdiri dari dua orang sahaja.

HUKUM PERGAULAN DI ANTARA LELAKI DAN PEREMPUAN
Hukum asal pergaulan antara lelaki dan perempuan ajnabi (harus nikah) adalah haram. Namun demikian, pengharaman ini tidak didasarkan kepada nas yang sarih kerana tiada nas sarih mengenai kes ini. Pengharamannya hanya diasaskan kepada hukum lain ynag pada asalnya dikhususkan bagi kaum wanita kerana dalam hukum-hukum terbabit terdapat unsur-unsur pergaulan antara lelaki dan perempuan ajnabi. Hukum-hukum yang dimaksudkan ialah; larangan berkhalwat dan musafir tanpa mahram, solat berjemaaah di masjid bagi wanita, hukum jihad bagi wanita-wanita dan hukum solat jumaat bagi wanita.

Adab yang perlu dijaga oleh lelaki dan perempuan :

  • Ucapan yang makruf (baik) dan sopan. Allah SWT telah menjelaskan di dalam Al Quran supaya kita mengucapkan kata-kata yang baik, kita ditegah sama sekali mengucapkan kata-kata yang janggal pada pandangan susila atau berbentuk 'flirting' (menggoda), gurauan, sendaan yang tidak bermanfaat dan sia-sia.
  • Menundukkan pandangan. Dalam surah an-Nur, terdapat perintah Allah SWT menyuruh lelaki dan wanita menundukkan pandangan masing-masing khususnya dalam suasana takutkan fitnah dan yang berbaur syahwat.
  • Mengelakkan daripada berhimpit dan bersesak-sesak. Imam Bukhari meriwayatkan daripada Ummu Salamah bahawa Rasulullah SAW setelah memberi salam (solat) beliau tidak terus bangun. Ini untuk memberi peluang kepada wanita keluar dahulu.
  • Tidak berkhalwat (berdua-duaan). Imam Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah sekali kali seseorang lelaki bersendirian dengan seorang wanita kecuali jika ia muhrimnya.”
  • Menghindari tempat syubhah. Sabda Rasulullah SAW: “Tinggalkanlah perkara yang meragukan kamu…” (Riwayat Bukhari) 

Adab khas untuk wanita :

  • Iltizam dengan pakaian Islam. Firman Allah SWT: “Wahai Nabi katakanlah kepada isteri dan anak-anak perempuan kamu supaya melabuhkan jilbab mereka.” (Surah Al Ahzab : 59). Dan firmanNya lagi: “Janganlah kamu berhias diri sebagaimana yang dilakukan oleh kaum jahiliyyah zaman dahulu.” (Surah Al Ahzab : 33)
  • Serius dalam ucapan, tidak ‘mengada-ngada’ atau bermanja-manja dalam percakapan. Firman Allah SWT : “Dan janganlah kamu merendahkan (melunak dan memanja-manjakan) percakapan (yang boleh menambat hati semasa bercakap dengan lelaki asing) sehingga boleh menimbulkan keinginan orang yang berpenyakit dalam hatinya (yang menyimpan niat buruk terhadap kamu), dan ucapkanlah perkataan yang baik (sopan).” (Surah Al Ahzab : 32)
  • Menjaga pergerakan tidak harus mereka memperlihatkan liuk lintuk dan lenggang lenggok yang menggoda. Firman Allah SWT: “Janganlah mereka menghentak kaki untuk menarik perhatian kepada perhiasan yang mereka sembunyikan.” (Surah An Nur : 31)

Justeru itu, pergaulan antara lelaki dan perempuan amatlah dititik beratkan di dalam Islam. Pastikan kita sentiasa menjaga batasan antara lelaki dan perempuan dimana sahaja kita berada, terutama di tempat kerja kerana ianya suasana yang sering melibatkan antara lelaki dan perempuan. Elakkan diri dari mengundang dosa dan fitnah.





Sumber :


No comments: