Monday 17 June 2013

Bulan Kekasih Allah.

Assalamualaikum sahabat!

Bulan Syaaban muncul lagi.Syaaban menandakan umat Islam semakin menghapiri Ramadan. Seakan tidak terasa bulan Rejab berlalu. Sebahagian Ahli Sunnah mengatakan, sesungguhnya Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun daripada segala dosa, Syaaban untuk memperbaiki diri daripada cela dan Ramadhan menerangkan hati dan jiwa,

Diriwayatkan oleh Aisyah : " Rasullullah SAW sering berpuasa sehingga kami mengira bahawa Baginda akan berpuasa seterusnya. Dan Baginda sering berbuka sehingga kami mengira beliau akan berbuka terus. Dan aku tidak pernah melihat Baginda berpuasa terus sebulan penuh kecuali pada Ramadhan. Dan aku juga tidak pernah melihat Baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak puasanya pada bulan Syaaban."(Riwayat al-Bukhari)

Marilah kita sama-sama merenung sejenak apakah pengertian Syaaban dan Malam Nisfu Syaaban. Masih ramai umat Islam di luar sana keliru dan musykil tentang amalan-amalan yang sepatutnya dikerjakan pada bulan Syaaban.

Erti Syaaban 

Sabda Rasullullah SAW :" Sesiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertakwa kepada Allah, taat kepadaNya serta menahan diri daripada perbuatan maksiat, maka Allah mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya dalam tahun itu daripada segala macam bencana."  (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'zihin)

Syaaban ertinya berpecah atau bercerai-berai. Dikatakan masyarakat Quraisyi pada waktu itu berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air dipadang pasir. Dan apabila datangnya Rasullullah SAW, Baginda mengekalkan nama itu sehingga sekarang. Rasullullah SAW telah menyebut pelbagai kelebihan bulan Syaaban dalam hadis-hadisnya. Diantara hadis yang paling masyhur ialah, Rasullullah telah bertanya kepada sahabat-sahabatnya :

"Tahukah kamu sekalian mengapa dinamakan dengan bulan Syaaban?". Para sahabat menjawab, "Allah dan Rasulnnya lebih mengetahui". Sabda Rasullullah SAW, " Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali." ( Dipetik daripada Kitab Raudhatul Ulama)

Malam Nisfu Syaaban

Meraikan malam 15 Syaaban atau lebih dikenali sebagai malam Nisfu Syaaban di mana sunat ia dihidupkan dengan zikir, membaca al-Quran kerana malam itu adalah malam yang amat mustajab dan penuh rahmat.

Bertaubatlah atas dosa yang pernah dilakukan terhadap Allah SWT,taubat nasuha iaitu janji tidak akan mengulangi dosa yang lalu dan berusaha melaksanakan janji itu dengan istiqomah. Umat Islam mempercayai yang ada pada malam Nisfu Syaaban, amalan akan dibawa naik oleh malaikat untuk ditukar dengan amalan yang baru setelah tahun berlalu.

Nabi Muhammad  SAW menggalakkan umatnya untuk bangun malam dan berjaga serta beriktikaf sepanjang malam kerana tidak mahu amalan di angkat dalam keadaan tidur atau lalai. Malam Nisfu Syaaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul Qadar. Saidatina Aisyah R.A meriwayatkan bahawa nabi Muhammad SAW tidak tidur pada malam itu sebagaimana yang tersebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi R.A. " Rasulullah SAW telah bangun pada malam (Nisfu Syaaban) dan bersembahyang dan sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir baginda telah wafat. Apabila aku melihat demikian aku mencuit ibu jari kaki Baginda Rasullullah SAW dan bergerak. Kemudian aku kembali dan aku dengar baginda Rasullullah SAW berkata dakam sujudnya, " Ya Allah, aku pohonkan kemaafanMu daripada apa yang akan diturunkan dan apa yang aku pohonkan keredhaanMu daripada kemurkaanMu dan aku berlindung kepadaMu daripadaMu.Aku tidak dapat menghitung pujian terhadapMu seperti kamu memuji diriMu sendiri."

Setelah Baginda Rasullullah SAW selesai sembahyang, Baginda berkata Saidatina Aisyah R.A. "Malam ini adalah malam Nisfu Syaaban. Sesungguhnya Allah telah datang kepada hambanya pada malam Nisfu Syaaban dan memberi keampunan kepada mereka yang beristighfar, memberi rahmat keatas mereka yang memberi rahmat dan melambatkan rahmat dan keampunan terhadap orang-orang yang dengki."

Fadhilat bulan Syaaban 

Diantara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah :

# Memperbanyakkan puasa sunat :
Sebagaimana yang dijelaskan bahwa Rasullullah SAW lebih gemar untuk berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding bulan-bulan lain. Justeru itu, adalah patut bagi kita selaku umat Baginda mencontohinya dalam memperbanyakkan puasa sunat bagi menyemarakkan dan mengagungkan bulan Syaaban. Begitulah tingginya pekertinya Nabi Muhammad SAW, nabi junjungan kita.

Di dalam kitab Duratun nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasullullah SAW bersabda yang mafhumnya :" Barangsiapa berpuasa tiga hari pada permulaan Bulan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah Taala mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada AllahTaala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang mati syahid."

# Memperbanyakkan doa, zikir dan berselawat kepada Rasullullah SAW.:
Sebagai umat Islam, kita digalakkan untuk memperbanyakkan doa, zikir danberselawat kepada Rasullullah SAW. Sabda Rasullullah SAW:" Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertakwa kepada Allah, taat kepadaNya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya didalam tahun itu dari segala macam benda dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'zihin)



1 comment:

Ahmad Muhammad said...

Mashaallah..terbaekk baq hang..mudah2an perkongsian kalian ini dapat memberi manfaat dan kebaikan bersama insyaallah..