Wednesday 24 July 2013

Ciri-ciri Wanita Solehah.

Disebutkan di dalam al-Quran dan sunnah Nabi. Diantaranya ialah firman Allah S.W.T  yang bermaksud :

"Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan karena mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebagian dari harta mereka. sebab itu Maka wanita yang saleh, ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri[289] ketika suaminya tidak ada, oleh karena Allah telah memelihara (mereka)[290]. wanita-wanita yang kamu khawatirkan nusyuznya[291], Maka nasehatilah mereka dan pisahkanlah mereka di tempat tidur mereka, dan pukullah mereka. kemudian jika mereka mentaatimu, Maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkannya[292]. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha besar." (Surah an-Nisa' : 34)


Sabda Nabi S.A.W ; apabila seseorang itu melakukan solat 5 waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, menjaga kemaluan ( kehormatan dirinya ) dan mentaati suaminya, maka ia akan memasuki syurga Tuhannya.
( Riwayat Ibnu Hibban ).

Mereka boleh dirumuskan sebagaimana berikut :


  • Beriman kepada Allah
  • Beramal soleh dalam ibadah khusus
  • Beramal soleh dalam memelihara kehormatan diri
  • Beramal soleh dan taat serta patuh pada suami
  • Mempunyai pandangan terhadap orang soleh


Sunday 21 July 2013

PUASA DAN WANITA




PENGERTIAN PUASA

Menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari, dimulakan dengan niat berpuasa kerana mengharapkan keredhaaan Allah SWT.




Firman Allah SWT :
"Wahai orang-orang yang beriman, diwajbkan keatas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan keatas orang-orang sebelum kamu, semoga kamu bertakwa." (Surah al-Baqarah: 2: 183)

Dan firmanNya lagi :
"Bulan Ramadhan yang diturunkan al-Quran di dalamnya sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan daripada petunjuk dan pembeza (antara yang hak dan yang batil). Maka sesiapa yang melihat bulan ramadhan, hendaklah dia berpuasa." (Surah al-Baqarah:2:185)

Syarat Wajib Puasa :


  1. Islam 
  2. Baligh 
  3. Berakal 
  4. Berkemampuan 
  5. Bermukim 
  6. Suci 

Hikmah berpuasa dan kelebihan Ramadhan


  • Ketibaan ramadhan, umat islam diseluruh pelusuk dunia serentak mengerjakan ibadah puasa dalam satu masa tertentu. Kesatuan hati dan niat tulus ikhlas ini dilakukan semata-mata untuk abdikan diri kepada Allah SWT.
  • Dengan diwajibkan puasa, semua golongan islam, kaya dan miskin berada dan ttidak berada terpaksa menempuh ujian yang sama. Dengan berpuasa menimbulkan keinsafan dan perasaan bertimbang rasa serta kasih mengasihi ssesama umat islam.
  • Amalan berpuasa melahirkan jiwa insan yang selalu taat kepada Allah, justeru akan lahir pula ketenangan jiwa dan ketakwaan. 
  • Dari segi kesihatan, perut yang melalui proses berpuasa dapat dibersihkan, sekali gus beberapa penyakit yang terdapat di dalam tubuh badan manusia dapat di atasi. 
  • Puasa ittu disifatkan oleh Rasulullah sebagai separuh daripada kesabaran.
Perkara-perkara yang membatalkan puasa 

  1. Makan atau minum dengan sengaja meskipun sedikit.(Jika terlupa, tidak membatalkan puasa teapi wajib berhenti sewaktu menyedari bahawa diri sedang berpuasa) 
  2. Memasukkan sesuatu benda kedalam rongga yang terbuka dengan sengaja
  3. Muntah dengan sengaja
  4. Kelua haid dan nifas
  5. Gila 
  6. Murtad ( Keluar dari islam ) 
  7. Mengeluarkan mani dengan sengaja
  8. Bersetubuh 

Sumber : Indahnya hidup bersyariat( Dato' Ismail Kamus dan Mohd Azrul Azlen B. Abdul Hamid)




Monday 8 July 2013

Adab pergaulan ( Ikhtilat )

Firman Allah SWT bermaksud :

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka.“ (Surah An Nur : 30)




 PENDAHULUAN
Allah s.w.t mencipta manusia lelaki dan perempuan. Ia juga mencipta Syariat untuk mereka. Dalam Syariat Islam ada sesetengah hukum atau peraturan berbeza di antara lelaki dan perempuan dan ada yang tidak berbeza. Dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing kadangkala berlaku pergaulan di antara lelaki dan perempuan, lebih-lebih lagi dalam masyarakat kini. Penulisan ini cuba melihat sejauhmana batas-batas pergaulan yang dilarang dan dibolehkan dalam Syariat Islam.

PENGERTIAN PERGAULAN
Pergaulan dalam bahasa Arab disebutkan ikhtilat berasal daripada kalimah “khalata yakhlutu khaltan” yang bererti bercampur.[1]
Maksud pergaulan (ikhtilat) dalam perbincangan ini ialah bergaul atau bercampur di antara lelaki dan perempuan ajnabi (yang sah kahwin) di satu tempat yakni berlaku interaksi dalam bentuk pandang-memandang atau perbuatan di antara seseorang dengan lain. Ertinya, ia berlaku antara tiga orang atau lebih. Ia berbeza dengan khalwat yang hanya terdiri dari dua orang sahaja.

HUKUM PERGAULAN DI ANTARA LELAKI DAN PEREMPUAN
Hukum asal pergaulan antara lelaki dan perempuan ajnabi (harus nikah) adalah haram. Namun demikian, pengharaman ini tidak didasarkan kepada nas yang sarih kerana tiada nas sarih mengenai kes ini. Pengharamannya hanya diasaskan kepada hukum lain ynag pada asalnya dikhususkan bagi kaum wanita kerana dalam hukum-hukum terbabit terdapat unsur-unsur pergaulan antara lelaki dan perempuan ajnabi. Hukum-hukum yang dimaksudkan ialah; larangan berkhalwat dan musafir tanpa mahram, solat berjemaaah di masjid bagi wanita, hukum jihad bagi wanita-wanita dan hukum solat jumaat bagi wanita.

Adab yang perlu dijaga oleh lelaki dan perempuan :

  • Ucapan yang makruf (baik) dan sopan. Allah SWT telah menjelaskan di dalam Al Quran supaya kita mengucapkan kata-kata yang baik, kita ditegah sama sekali mengucapkan kata-kata yang janggal pada pandangan susila atau berbentuk 'flirting' (menggoda), gurauan, sendaan yang tidak bermanfaat dan sia-sia.
  • Menundukkan pandangan. Dalam surah an-Nur, terdapat perintah Allah SWT menyuruh lelaki dan wanita menundukkan pandangan masing-masing khususnya dalam suasana takutkan fitnah dan yang berbaur syahwat.
  • Mengelakkan daripada berhimpit dan bersesak-sesak. Imam Bukhari meriwayatkan daripada Ummu Salamah bahawa Rasulullah SAW setelah memberi salam (solat) beliau tidak terus bangun. Ini untuk memberi peluang kepada wanita keluar dahulu.
  • Tidak berkhalwat (berdua-duaan). Imam Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah sekali kali seseorang lelaki bersendirian dengan seorang wanita kecuali jika ia muhrimnya.”
  • Menghindari tempat syubhah. Sabda Rasulullah SAW: “Tinggalkanlah perkara yang meragukan kamu…” (Riwayat Bukhari) 

Adab khas untuk wanita :

  • Iltizam dengan pakaian Islam. Firman Allah SWT: “Wahai Nabi katakanlah kepada isteri dan anak-anak perempuan kamu supaya melabuhkan jilbab mereka.” (Surah Al Ahzab : 59). Dan firmanNya lagi: “Janganlah kamu berhias diri sebagaimana yang dilakukan oleh kaum jahiliyyah zaman dahulu.” (Surah Al Ahzab : 33)
  • Serius dalam ucapan, tidak ‘mengada-ngada’ atau bermanja-manja dalam percakapan. Firman Allah SWT : “Dan janganlah kamu merendahkan (melunak dan memanja-manjakan) percakapan (yang boleh menambat hati semasa bercakap dengan lelaki asing) sehingga boleh menimbulkan keinginan orang yang berpenyakit dalam hatinya (yang menyimpan niat buruk terhadap kamu), dan ucapkanlah perkataan yang baik (sopan).” (Surah Al Ahzab : 32)
  • Menjaga pergerakan tidak harus mereka memperlihatkan liuk lintuk dan lenggang lenggok yang menggoda. Firman Allah SWT: “Janganlah mereka menghentak kaki untuk menarik perhatian kepada perhiasan yang mereka sembunyikan.” (Surah An Nur : 31)

Justeru itu, pergaulan antara lelaki dan perempuan amatlah dititik beratkan di dalam Islam. Pastikan kita sentiasa menjaga batasan antara lelaki dan perempuan dimana sahaja kita berada, terutama di tempat kerja kerana ianya suasana yang sering melibatkan antara lelaki dan perempuan. Elakkan diri dari mengundang dosa dan fitnah.





Sumber :


Saturday 6 July 2013

Hukum Haid, Nifas dan Istihadhah.

HAID.

Haid ialah darah yang keluar daripada perempuan yang telah berusia 9 tahun atau lebih, dalam keadaan sihat pada waktu-waktu tertentu. Haid ini seperti yang tersebut dalam hadis yang bermaksud :

"Suatu yang ditentukan Allah Taala atas anak-anak perempuan Adam".

Apabila seseorang perempuan yang berusia 9 tahun atau lebih melihat darah keluar daripada kemaluannya, maka wajiblah dia menahan diri daripada mengerjakan solat dan puasa. Dalam masa keluar haid itu, suami haram mengadakan hubungan intim dengannya. Sama ada darah itu hitam, merah, kuning atau keruh, itu adalah darah haid.

Jika darah itu berterusan dalam masa sehari semalam (24 jam) atau lebih, nyatalah ia darah haid. Tetapi  jika ia berhenti sebelum berlalu sehari semalam dan tidak datang lagi dalam masa 15 hari dari mula keluarnya itu, nyatalah ia darah penyakit. Apabila darah penyakit, wajiblah atas perempuan itu mengganti (qadha') solatnya dan puasa yang ditinggal semasa itu. Tetapi jika darah itu berhenti sebelum sehari semalam, kemudian datang lagi pada hari kedua atau hari-hari selepasnya sehingga genap 15 hari, dan dengan darah yang kembali semula itu dalam jangka masa 24 jam, maka semuanya itu adalah darah haid dengan syarat darah yang keluar itu tidak melebihi 15 hari. Jika tidak, maka ia dihukum sebagai mustahadhah (perempuan yang beristihadhah) iaitu berdarah penyakit.

Tempoh Haid.

Sekurang-kurangnya semasa haid aialah sehari semalam iaitu selama 24 jam dan darah itu berterusan keluar seperti biasa. Dianggarkan jika diletakkan secebis kapas atau sebgainya, kapas itu berlumuran dengan darah. Biasanya haid itu keluar dalam masa 6 atau 7 hari. Masa maksimum haid ialah 15 hari. Kalau darah itu keluar itu keluar kurang daripada sehari semalam atau lebih daripada 15 hari 15 malam, darah itu ialah darah istihadhah, yakni darah penyakit.

NIFAS.

Nifas ialah darah yang keluar selepas melahirkan anak. Masa minimum nifas ialah satu lahzah iaitu, satu detik. Biasanya 40 hari dan maksimanya 60 hari. Jika darah itu keluar lebih 60 hari, ia adalah darah istihadhah.

Tempoh Suci.

Sekurang-kurangnya masa suci antara dua pusingan haid ialah 15 hari 15 malam, serta tidak ada had lama masa suci. Jika seorang perempuan datang haid selama 7 hari dan darah itu berhenti, dan 10 hari kemudian datang lagi, maka darah itu ialah darah istihadhah kerana tidak berlaku antara dua haid sekurang-kurangnya masa suci. Adapun suci antara nifas dengan haid, maka sekurang-kurangnya satu lahzah (satu detik).

ISTIHADHAH.

Istihadhah ialah hadas yang berterusan, iaitu darah yang keluar pada hari-hari yang bukan masa haid dan bukan masa nifas ataupun darah yang keluar kurang daripada sehari semalam pada hari-hari pusingan haid. Perempuan mustahadhah hukumnya dikira dalam keadaan suci. Justeru dia wajib mengerjakan solat dan puasa, malah harus bagi suami mengadakan hubungan seks dengannya. Perempuan yang istihadhah ini, apabila hendak mengerjakan solat, dia WAJIB membasuh kemaluannya dan memakai tualanya (pad) dengan kemas ; atau meletakkan kapas atau dengan cara-cara lain dan mengikatnya dengan kain jika tidak menganggunya, atau dengan istilah lama dengan memakai cawat.

Dia tidak wajib menyumbat kapas pada kemaluannya kecuali pada masa-masa yang memerlukannya, atau tidak pula ketika berpuasa. Jika tidak memerlukannya, atau ketika sedang berpuasa, atau merasa sakit, maka tidaklah wajib. Malah bagi perempuan yang sedang berpuasa hendaklah meninggalkan perbuatan menyumbat kemaluannya dengan kapas itu. Kemudian setelah selesai memakai tualanya (pad) itu barulah dia berwudhuk. Semua perbuatan itu hendaklah dilakukan setelah masuk waktu solat.

Ketika mengambil wudhuk hendaklah dilakukan secara muwalat iaitu membasuh anggota yang kedua sebelum kering anggota yang pertama. Dengan perkataan lain, melakukannya secara berturut-turut. Selesai sahaja mengambil wudhuk, dia wajib mengerjakan solat dengan segera. Jika lambat atau melengah-lengahkan, bukan kerana urusan solat, dia wajib membasuh semula kemaluannya dan memakai tualanya (pad), kemudian terus mengambil wudhuk. Tetapi jika terlambat kerana urusan solat seperti untuk menunggu solat berjemaah, tidaklah wajib dia mengambil wudhuk semula. Dia juga wajib menggantikan tuala (pad) yang baru setiap kali hendak mengerjakan solat fardhu.

Sumber :

Fekah Wanita ; Ustaz Pauzi bin Haji Awang
(Anis ; Januari 2001)